Dewan Pemuda PAS Kedah

Official Web Dewan Pemuda PAS Kedah

August 19, 2016
by dppnk
0 comments

KEMYATAAN MEDIA – HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA MESTI DISAMBUT DENGAN SOLAT HAJAT ATASI KEMELUT DALAM NEGARA

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
18 OGOS 2016

*HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA MESTI DISAMBUT DENGAN SOLAT HAJAT ATASI KEMELUT IMEJ NEGARA*

1. Situasi hari ini jelas menampilkan negara kita sarat dengan pelbagai isu dan permasalahan sama ada masalah yang melibatkan imej negara mahupun isu melibatkan periuk nasi dan poket rakyat jelata.

2. Misalnya dalam isu melibatkan imej dan masa depan negara seumpama 1 MDB dan sebagainya, kami menyeru agensi kerajaan, pimpinan negeri dan negara, pemimpin akar umbi masyarakat agar mengangkat penganjuran majlis solat hajat dan munajat secara besar-besaran diseluruh pelusuk negara sebagai usaha dan tanda serius inginkan penyelesaian. Kembali kepada Allah dan syariatnya , melaksanakan solat adalah jalan penyelesaian yang menjadi pilihan utama yang patut difahami oleh kepimpinan negeri dan negara yang majoritinya beragama Islam.

3. Ini jelas ditegaskan didalam saranan panduan Al Quran yang menyebut “Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (maksud ayat Al Baqarah :153)

4. Pihak kami sepertimana pandangan pimpinan PAS Pusat tetap berdoa dan berjuang agar kedaulatan negara terpelihara dalam masa yang sama kami tetap tegas menolak korupsi dan skandal mega Malaysia seumpama 1 MDB.

5. Kami amat berharap agar pimpinan sedar jika korupsi masih bermaharajalela, kedaulatan negara akan menjadi cagaran serta memperjudikan masa depan anak cucu kita kelak.

6. Kami juga menyeru kerajaan agar bersederhana dalam berbelanja sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia kerana rakyat jelata dihimpit dengan pelbagai kos sara hidup yang tinggi dan keadaan ekonomi negara yang tidak menentu

7. Kami menyokong patriotisme yang bercorakkan kedaulatan negara, mengamalkan agama serta menjadikan akhlak, berjimat cermat, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara sebagai teras patriotisme.

8. Kami ucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan dan bersama kita kembali kepada syariat Islam untuk kesejahteraan hakiki.

*NURUL AMIN BIN HAMID*

KETUA PENERANGAN DPPN KEDAH

August 18, 2016
by dppnk
0 comments

PERBAHASAN DUN- KETUA PEMUDA PAS KEDAH TUNJUK PRESTASI

Perbahasan di Sidang Dun Kedah 17 Ogos 2016

YB Ustaz Mohd Azam Abd Samat (PAS Sungai Limau)

- Allah mengharamkan syurga bagi para pemimpin yang mengkhianati amanah.

- Tolong menolong dlm perkara baik, tidak tolong menolong dlm perkara tidak baik.

- PAS bina politik baru yg digagaskan TGHH, tidak membangkang semua perkara. Inilah politik matang dan sejahtera.

- Kedah perlu menjadi hub untuk pusat pengajian tahfiz, berikan peluang untuk lulusan tahfiz berada dalam pentadbiran negeri Kedah

- Kedah e-Tutor, PAS tak bangkang projek yg beri kebaikan utk bidang pendidikan tapi persoalkan kos projek sampai RM18 juta setahun. Baiki rumah Keda pun RM1 juta jee

August 16, 2016
by dppnk
0 comments

KENYATAAN MEDIA – Aduan Kepada SPRM Berhubung Penyelewengan Projek Naik Taraf Loji

*KENYATAAN MEDIA*
*DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH*
*14 Ogos 2016 | 11 Zulkaedah 1437*
*”Aduan Kepada SPRM Berhubung Penyelewengan Projek Naik Taraf Loji Rawatan Air Kuala Nerang”*
1. Kami mendapati wujud keraguan munasabah terhadap projek naik taraf Loji Rawatan Air di Kampung Mani, Kuala Nerang di mana peruntukan asal sebanyak RM12.5 juta sebagaimana diumum sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Bekalan Air Negeri Kedah, Dato’ Badrol Hisham Hashim. Di mana, projek hanya dapat disiapkan pada Mei 2014 daripada jadual asal iaitu Januari 2014.
2. Kecurigaan kami apabila projek naik taraf tersebut diberi secara rundingan terus dengan kontraktor terbabit menerima kos akhir RM26.5 juta iaitu peningkatan lebih 100% yang sangat disyaki berlakunya penyelewengan dana peruntukan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah itu.
3. Bahkan, projek secara naik taraf itu juga tidak menyelesaikan keperluan penggunaan bagi 50,000 penduduk di Daerah Padang Terap sebagaimana yang diumumkan diawal pemberian projek itu. Malah, terdahulu pihak kami telah membuat laporan sama mengenai kecurigaan projek pembinaan loji ini pada tahun 2010 melibatkan penggunaan kos terlalu besar dari kapasiti perkhidmatannya.
4. Sedangkan kos anggaran pembinaan loji rawatan air adalah RM1 juta bersamaan kapasiti pengeluaran 1MLd. Membawa maksud, perbelanjaan RM26.5 juta meningkatkan kapasitinya sebanyak 26MLd. Maka dengan naik taraf itu menjadikan Loji Rawatan Air Kuala Nerang sepatutnya berkapasiti 48MLd iaitu dari 22MLd kapasiti asal.
5. Maka, kegagalan perkhidmatan menyalurkan keperluan penggunaan sebagaimana diumum dan berdasar jumlah besar dana diperuntukan itu menunjukkan wujud ketidakpatuhan spesifikasi dan unsur penyelewengan. Sehubungan itu, kami mengemukakan aduan rasmi kepada SPRM untuk membuka siasatan terhadap kes ini dan supaya pihak terbabit boleh dibawa ke muka pengadilan.
*USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAT*
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah

August 16, 2016
by dppnk
0 comments

LAPORAN UNTUK SPRM…PEMUDA PAS KEDAH DESAK SIASAT DANA LOJI

LAPORAN KEPADA SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA ( SPRM ) NEGERI KEDAH*

_OLEH : DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH_

*SIASAT PENYELEWENGAN PROJEK NAIK TARAF LOJI AIR KG MANI, KUALA NERANG*

Tarikh : 14Ogos 2016 ( Hari Ahad)

Masa : 9.30 Pagi

Nama : Mohd Azam Abd Samat

No K/P : 760126025097

Jawatan : Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah

Alamat : Pejabat Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah , Kompleks PAS Kedah , KM 13 Jalan Alor Setar -Sungai Petani, Simpang Empat ,Kedah Darul Aman

No Tel : ‪+60 19‑440 3329

Laporan ini dibuat berasaskan maklumat yang diperolehi oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) daripada akhbar harian dan sumber yang berautoriti berkenaan penyelewengan dana Kerajaan Persekutuan dalam Projek menaiktaraf Loji Rawatan Air Kg Mani, Kuala Nerang.

Kes ini menimbulkan keraguan dalam kalangan orang ramai apabila projek tersebut tidak dibina berdasarkan spesifikasi yang ditetapkan, seterusnya tidak dapat menyelesaikan masalah bekalan air seperti yang diwar-warkan, berbanding peruntukkan dana kerajaan persekutuan yang sangat besar.

Antara komponen perlaksanaan projek yang meragukan ialah seperti berikut :

1). Berita BERNAMA pada 28 November 2013 melaporkan, Exco Bekalan Air Negeri Kedah Dato’ Badrol Hisham Hashim mengumumkan bahawa kos projek menaik taraf loji rawatan air Kuala Nerang adalah bernilai RM12.5 juta dan dijangka siap pada Januari 2014.

2). Projek tersebut adalah dibawah peruntukkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar & Wilayah (KKLW) dan dilaksanakan secara rundingan terus oleh syarikat yang dilantik.

3). Berdasarkan maklumat yang kami terima, kos asal projek menaik taraf loji tersebut telah meningkat daripada RM12.5 juta kepada RM26.5 juta. Jangkamasa pelaksanaan projek tersebut dijadualkan siap pada Januari 2013 tidak tercapai apabila hanya siap pada bulan Mei 2014.

4). Berdasarkan anggaran yang dinyatakan oleh kerajaan negeri dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kedah pada Mei 2010 , anggaran kos membina sebuah loji rawatan air yang berkapasiti 1MLd ialah RM 1juta.

Ini bermaksud, perbelanjaan sebanyak RM26.5 juta sepatutnya mampu meningkatkan kapasiti baru pengeluaran air Loji Rawatan Air Kuala Nerang sebanyak 26MLd, menjadikan kapasiti sedia ada 22MLd kepada 48MLd.

5). Malangnya, pihak kami difahamkan kapasiti pengeluaran itu tidak tercapai, dan lebih mengejutkan ialah ada ketika loji yang dinaiktaraf itu tidak menunjukkan sebarang peningkatan pengeluaran.

Pihak kami difahamkan ia berpunca daripada infrastruktur dan peralatan baharu yang dipasang dalam kerja-kerja menaik taraf loji tersebut tidak dapat berfungsi dan tidak dapat digunakan.

6). Projek ini disyaki diberikan secara rundingan terus kepada syarikat yang melibatkan kepentingan pemimpin-pemimpin kerajaan negeri dan persekutuan pada waktu ini. Untuk makluman, Kontraktor projek ini ialah IBRA HS Sdn Bhd dan syarikat Peruding ialah PJS Consultant yang kedua-duanya beralamat di Alor Setar Kedah.

7). Projek menaiktaraf loji ini telah menelan belanja kos yang terlalu tinggi tetapi tidak menepati spesifikasi yang sepatutnya. Hasil daripada projek ini tidak mencapai matlamat seperti yang diwar-warkan boleh menyelesaikan masalah air bagi keperluan 50,000 penduduk daerah Padang Terap

Kami memohon siasatan menyeluruh daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap penyelewangan projek ini yang disyaki melibatkan kepentingan pemimpin politik dan rangkaian mereka dalam menentukan kos projek, perlantikan kontraktor, konsultan projek, kelulusan pembayaran tambahan (VO) dan kelewatan jangkamasa disiapkan.

Sekian laporan kami.

…………………………………………..
*YB USTAZ MOHD AZAM BIN ABD SAMAT*
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah

August 10, 2016
by dppnk
0 comments

kertas kajian fakta- Isu Ketum di Kedah

 


Disusun oleh : Muhammad Nuruddin Bashah (Jabatan Strategik DPPN Kedah)

Objektif:
Persediaan ke atas lontaran idea RISDA untuk memohon kerajaan membenarkan penanaman komersial daun ketum dan eksport keluar negara untuk peningkatan ekonomi.

LATAR BELAKANG KETUM
1.Ketum pokok/daun biak. – famili Rubiaceae iaitu pokok berbunga, nama sainstifik Mitragyna Speciosa Korth.
2.Pokok ketum banyak terdapat di negara-negara Asia Tenggara dan Indochina serta Afrika.
3.Di Malaysia, tumbuhan ini banyak ditanam dan tumbuh di sekitar utara dan tengah Semenanjung Malaysia.
4.Di tanam persendirian dan ada juga yang ditanam seperti tanaman komersil iaitu dalam skala yang besar.
5.Daun ketum dikatakan mempunyai khasiat di mana air rebusannya dapat membantu memulihkan tenaga manusia serta beberapa penyakit .
6.Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Abdul Latiff Mohamad – daun ketum secara tradisional hanya membantu menguatkan sistem saraf tetapi bukan sebagai penawar yang terbaik.
7.Ketum sudah lama ditanam di Malaysia tetapi mula popular sejak awal tahun 2000.
8.Bahan yang telah dicampur aduk ke dalam air rebusan tersebut antaranya ubat nyamuk dll.
9.Daun ketum secara semulajadinya mempunyai ekstrak yang dipanggil Mitragynine.
10.Mitragynine memberi kesan-kesan stimulan, sedatif dan euforik, oleh itu ia berfungsi sebagai dadah seperti candu.
11.Mitragynine diklasifikasikan sebagai bahan psikoptropik sepertimana Jadual Ketiga Akta Racun 1952. Undang-undang yang mengawal sebarang bentuk pengimportan, pengeksportan, pembuatan, penjualan, pengeluaran, pemilikan dan penggunaan bahan psikotropik adalah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Undang-undang ini memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM 10,000.00 atau penjara tidak melebihi 4 tahun atau kedua-duanya sekali.
12.Thailand telah mengharamkan penanaman pokok ketum. Oleh itu sudah semestinya terdapat permintaanThailand berkenaan akan daun-daun ketum dari Malaysia.
13.Penduduk tempatan di Padang Besar menjadikan ke­giatan menyeludup ketum sebagai perniagaan tradisi. (Utusan Malaysia 15 Mar 2016)
14.Harga sekilogram daun ketum di sini hanyalah RM30 sekilogram tetapi di sebelah pagar (sempadan) harganya boleh mencecah RM80 sekilogram.
15.Antara lokasi popular para penyeludup adalah pagar sempadan di stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Maka sebab itu, banyak pagar sempadan di situ yang dirosakkan dan berlubang angkara penyeludup.

UNDANG-UNDANG KETUM
1.Kini tidak boleh ambil tindakan terhadap pengusaha ketum kerana menanam ketum bukan merupakan satu kesalahan. Jika memetik daun ketum baru merupakan satu kesalahan.
2.Taktik yang pengusaha ketum gunakan ialah individu yang mahu membeli ketum, mereka perlu memetiknya sendiri. Dengan cara ini pengusaha tidak akan dikenakan tindakan undang-undang jika serbuan pihak penguat kuasa dilakukan.
3.Malaysia meletakkan kesalahan penyalahgunaan ketum di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 – memperuntukkan denda maksimum RM10,000, penjara maksimumempat tahun atau kedua-duanya tetapi bagi kebanyakan kes, pesalah hanya akan didenda.
SITUASI

1.RISDA cadang eksport Ketum (BH 26 Julai 2016 http://www.bharian.com.my/node/177196)
a)Datuk Zahidi Zainul Abidin Pengarah RISDA cadang mendapatkan kebenaran kerajaan menanam pokok ketum
b)Cadang berbincang dengan kerajaan, USM, Kementerian Kesihatan
c)Tujuan meningkatkan hasil pendapatan pekebun kecil di negara ini.
d)Hujah-
i.mendapat permintaan tinggi untuk mendapatkan bekalan ketum daripada farmasi di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. ”
ii.Dapat meningkatkan pendapatan berganda pekebun kecil yang selama ini hanya bergantung kepada hasil getah.
iii.Hari ini Malaysia tidak mampu membekalkannya buat masa ini kerana penanaman daun ketum dilarang di negara ini.
iv.Ketum mempunyai nilai perubatan tinggi dan pihak AS serta Eropah tidak menghadapi sebarang masalah dengan daun ketum yang dianggap mempunyai khasiat.
v.Hujah RISDA, hasil kajian USM menunjukkan penggunaan ketum untuk perubatan dapat menstabilkan darah dan penyakit tertentu pada musim sejuk, sekali gus menyebabkan permintaannya tinggi.

2.RISDA saran eksport ketum di saat kerajaan usaha beri pampasan untuk penanam ketum galakkan mereka tanam tanaman lain. (Sinar Harian 2 September 2014)
a)Kerajaan sedia membantu pemilik pokok ketum yang ingin mengubah kepada tanaman lain sebagai sumber pendapatan.
b)Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahmam berkata, tindakan itu sebagai alternatif selepas kerajaan menggubal akta daun ketum bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
c)Malaysia mempunyai pelbagai skim yang boleh digunakan untuk membantu mereka yang berminat.

3.RISDA berbunyi di saat kerajaan giat membenteras Ketum (Astro Awani 13 Januari 2014)
a)Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengesa semua pihak bergerak ke arah pembanterasan isu penyalahgunaan dadah dan ketum.

KETUM DI KEDAH

1.Ketum goreng di Kedah
a)Pengarahnya AADK Mohammed Nazer Mustafa – telah dikesan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kedah yang dilakukan di Pulau Pinang.
b)Cara penghasilannya ialah dengan mencelup daun ketum ke dalam tepung dan kemudian digoreng hingga rangup sebelum dimakan seperti snek.
c)Menyarankan agar kerajaan segera meletakkan bahan ketum di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membolehkan tindakan diambilterhadap individu yang menanam pokok ketum.
d)Mohammed Nazer berkata kini terdapat 81 pengusaha ketum di Kedah, 40 orang di Padang Terap, Kubang Pasu (17), Kota Setar dan Pokok Sena (13), Baling (10) dan Sik (1).
2.Pernah disuaahakan zaman Mukhriz untuk haramkan terus penanaman Ketum.
a)Pada 22 Nov 2015 Mukhriz umum akan berbincang dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan ahli-ahli Parlimen dari negeri ini untuk mengusulkan pengharaman penanaman daun ketum dalam usaha menyekat penyalahgunaan bahan tersebut.
b)Akan minta kerajaan Pusat supaya memberi perhatian dengan meminda atau mengubah undang-undang sedia ada untuk mengharamkan terus penanaman pokok ketum ini.

JAWAPAN DAN RESPON

1.Kajian perlu terperinci (Harian Metro 27 Julai 2016 http://www.hmetro.com.my/node/154784 )
a)Ahli Jawatankuasa (AJK) Kluster Pertanian dan Makanan, Majlis Profesor Negara (MPN) Profesor Dr Abdul Shukor Juraimi.- kajian terperinci dan penguatkuasaan menyeluruh perlu dilaksanakan sebelum pokok ketum dibenar ditanam secara komersial.

2.Pilih alternatif yang paling kurang mudharat (Harian Metro 27 Julai 2016 http://www.hmetro.com.my/node/154784 )
a)Pengarah Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Putra Infoport Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dr Fatimah Mohamed Arshad menyarankan Risda menggalakkan pekebun kecil menanam serai, halia, tongkat ali dan sebagainya bagi menghasilkan ubat tradisional seperti jamu.
b)Di Indonesia, rakyatnya menaman pokok herba yang kita lihat berjaya menghasilkan jamu sehingga dipasarkan ke seluruh negara. Mereka jalankan penyelidikan untuk hasilkan perubatan berasaskan herba dan terbukti berjaya.

3.Teliti dan elak kesan jangka panjang (Harian Metro 27 Julai 2016 http://www.hmetro.com.my/node/154784 )
a)Pengarah Latihan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Dr Izham Nayan, menyarankan kerajaan meneliti cadangan itu secara komprehensif bagi mengelakkan kesan jangka masa panjang terhadap masyarakat dan negara.
b)Kesan daun ketum yang dicampur dengan bahan lain lebih kurang sama dengan pengambilan dadah, kita bimbang kesan buruk terhadap kesihatan.

4.Polis Perlis tidak bersetuju (Harian Metro 27 Julai 2016 http://www.hmetro.com.my/node/154782 )
a)Timbalan Ketua Polis Perlis Asisten Komisioner Noor Mushar Muhammad berkata, pengeksportan tanaman itu pastinya membabitkan kuantiti yang banyak dan dikhuatiri memberi implikasi lebih buruk.
b)Hanya menguntungkan sesetengah pihak sedangkan kesan mudarat lebih banyak berlaku dalam masyarakat.
c)Mislanya di Golden Triangle (sempadan tiga negara antara Myanmar, Laos dan Thailand), kawasan tanaman ganja yang didakwa bagi tujuan perubatan namun akhirnya menjadi aktiviti mengaut keuntungan semata-mata.

5.Menteri Pendidikan bantah (Astro Awani http://www.astroawani.com/berita-malaysia/risda-diminta-fikir-semula-cadangan-tanam-ketum-112243 )
a)Datuk Seri Mahdzir Khalid – pihak kementerian mendapati masalah pengambilan air ketum dalam kalangan pelajar di utara semenanjung adalah serius.
b)Anggap Pengerusi Risda melihat perkara ini dari sudut perniagaan.
c)harap mereka (Risda) pilih tanaman lain. Kalau mahu komersialkan pun pilih tanaman lain sahaja sebab ia mengundang masalah,” katanya.

RESPON DI KEDAH
1.Kedah tidak setuju (Harian Metro 27 Julai 2016 http://www.hmetro.com.my/node/154784 )
a)Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kerajaan negeri tidak bersetuju dengan cadangan penanaman pokok ketum untuk tujuan eksport.
b)Tiada kajian membuktikan manfaat kepada orang ramai sebaliknya banyak memberi kemudaratan kepada penggunanya.

2.Jawapan Exco Kesihatan negeri Datuk Dr Leong Yong Kong (Harian Metro 27 Julai 2016 http://www.hmetro.com.my/node/154782 )
a)Segelintir masyarakat menyalahgunakannya untuk kegunaan peribadi.
b)Kedah masih dalam usaha untuk mengawal penanaman daun ketum dan kerajaan negeri mengambil langkah merampas tanah yang dijadikan ladang ketum bagi mengekang salah guna air ketum.
c)Masalah dadah dan ubat khayal di Kedah membimbangkan, lebih 3,000 penagih baharu dikesan di Kedah tahun 2015.
ANALISA
1.Kerajaan shift isu 1MDB dengan mencetus isu-isu picisan sebegini.
2.Bernada politik apabila isu ini dikumandang di saat kerajaan dan agensi giat mengeluar kenyataan akan membenteras ketum.
3.RISDA sebagai suara kerajaan untuk menangguk untung disebalik perniagaan haram ketum yang telah berdekad dia amal di utara semenanjung sama seperti meletak saranan mengadakan judi bola berlesen (mengambil untuk di sebalik dosa/derita/mudharat rakyat)
4.Kerajaan sekular akan menolak sadd zaraie iaitu pengharaman/larangan/pencegahan sebagai solusi masalah domestik dalam sesebuah negara.
a)Misanya isu memberi jarum percuma untuk aids terus menangih cuma jangan disebar sahaja virus
b)Cadangan cawat besi untuk masalah rogol.

August 10, 2016
by dppnk
0 comments

SUARA PAS CETUS SIMPANAN SHARIAH KWSP

[KRONOLOGI]
*SUARA PAS CETUS SIMPANAN SHARIAH KWSP*

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

PANJANG masa yang diusahakan PAS dalam melontarkan kritikan, teguran dan cadangan hingga akhirnya Simpanan Shariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dilaksanakan mulai tahun 2017. Ia satu perjuangan untuk memastikan dana caruman hak milik rakyat khususnya Muslim diurus tadbir dalam kerangka Islam sebagaimana ditetapkan Allah SWT.

Penerimaan positif dan memberangsangkan dari masyarakat pelbagai kaum dan agama pada pendaftaran bermula 8 Ogos 2016 menggambarkan prospek syariah kepada rakyat Malaysia. Dengan harapan wujud keterbukaan untuk lebih banyak praktikal syariah dijayakan pada aspek lain, termasuk agak kontroversi kini iaitu RUU355 Akta Mahkamah Syariah.

Hayati sepintas lalu beberapa butiran ringkas dan penting berkaitan KWSP ini untuk difahami secara umum serta peranan yang telah diluncurkan PAS.

*Kedudukan Asas dan Isu Kontroversi*:
• Pelaburan KWSP berada dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Instrument Pasaran Wang di mana keduanya berasaskan riba;
• Sebahagian pinjaman korporat berasaskan riba dan terdapat pelaburan dalam Ekuiti yang tidak mematuhi syariah;
• Namun, KWSP tidak sekali-kali membuat pelaburan dalam sektor dikategori tidak beretika seperti saham perjudian dan arak, sektor pembuatan dan penjualan senjata untuk tujuan peperangan, serta pelaburan yang punya pendedahan dan kepentingan dengan negara tiada hubungan diplomatik bersama Malaysia seperti Israel;
• Tidak mengasingkan caruman pencarum mengikut agama, bangsa atau kaum;
• Agihan dividen tahunan berdasarkan pendapatan kumulatif daripada instrumen pelaburan Islamik dan konvensional;
• Sebagai pengurus dana simpanan, KWSP tidak membayar zakat melibatkan simpanan pencarum Islam walaupun Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan Negeri menetapkan kewajipan berkenaan sebagaimana diamalkan Lembaga Urusan dan Tabung Haji

Pada tahun 2014, pelaburan KWSP berjumlah RM597 bilion. Pecahan pelaburannya adalah seperti berikut:
• RM157 bilion dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia;
• RM 13 bilion dalam Instrument Pasaran Wang;
• RM154 bilion dalam Pinjaman dan Bon Korporat;
• RM257 bilion dalam Ekuiti;
• RM 14 bilion dalam Hartanah

*Ringkasan Kronologi*

*26 Mei 2015*: Ahli Parlimen Temerloh, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mengemukakan soalan dalam persidangan Dewan Rakyat sama ada KWSP berhasrat memastikan caruman pencarum Muslim hanya dilaburkan dalam portfolio patuh syariah.

*26 Mei 2015*: Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Ahmad Maslan memaklumkan bahawa KWSP sedia menimbangkan untuk memberi pilihan kepada pencarum bagi memilih skim simpanan persaraan patuh syariah atau kekal dengan skim konvensional sedia ada. Menurutnya, inisiatif itu disasar untuk dilaksana pada tahun 2017. Katanya, Akta KWSP 1991 juga perlu dipinda bagi membolehkan pencarum membuat pilihan selain menambah baik sistem pelaburan, caruman dan pengeluaran.

*22 Oktober 2015*: Diluluskan RUU Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2015 di Dewan Rakyat setelah perbahasan sejak 20 Oktober. Antara perkara penting pindaan adalah penubuhan Jawatankuasa Penasihat Syariah bagi menasihati Lembaga dan Panel Pelaburan dalam memastikan pengurusan akaun ahli KWSP mematuhi prinsip syariah termasuk caruman, pelaburan dan dividen. Nasihat Jawatankuasa Penasihat Syariah adalah mengikat Lembaga dan Panel pelaburan menurut Seksyen 23D(2).

*22 Oktober 2015*: Ketua Penerangan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali at-Takiri yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus menyifatkan pindaan Akta KWSP (2015) bakal menyelamatkan caruman orang-orang Islam daripada terlibat dengan pelaburan haram.

*22 Oktober 2015*: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas melahirkan harapan KWSP Islamik (KWSP-I) akan menjadi tabung simpanan persaraan terbesar di dunia dengan operasi patuh syariah.

*21 Julai 2016*: Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Dato’ Shahril Ridza Ridzuan mengumumkan pendaftaran bagi pilihan simpanan persaraan baharu iaitu Simpanan Shariah yang dilancarkan bagi tahun 2017 akan membuka mulai 8 Ogos 2016 dengan dana permulaan RM100 bilion iaitu kira-kira 15% daripada aset pelaburannya sehingga Mac lalu yang berjumlah RM681.71 bilion.

*21 Julai 2016*: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi yang juga Ahli Parlimen Temerloh merakam ucapan tahniah kepada KWSP kerana memperkenalkan skim Simpanan Shariah. Katanya, kesungguhan KWSP mengusahakan jalan keluar bagi menjamin pelaburan yang dibuat khusus daripada simpanan pencarum Islam agar patuh syariah itu amat wajar dipuji dan dicontohi.

*25 Julai 2016*: KWSP memaklumkan bahawa Simpanan Shariah dilaksanakannya tidak mengguna pakai perbankan konvensional dalam portfolio pelaburannya. Bagaimanapun, strategi pelaburannya masih berpandu kan model Alokasi Aset Strategik (SAA) dengan objektif untuk melindungi dan meningkatkan nilai persaraan ahli.

*8 Ogos 2016*: Pendaftaran Simpanan Shariah di semua kaunter KWSP seluruh negara dibuka kepada pencarum tanpa mengira latarbelakang agama dan bangsa. Ia akan diurus dan dilabur secara Akad Wakalah dengan kadar dividen akan diisytihar berdasar prestasi sebenar pelaburan patuh syariah.

August 10, 2016
by dppnk
0 comments

KENYATAAN MEDIA – Fitnah Terancang Media Setaraf Jenayah, Sokong Tindakan Undang-undang

KENYATAAN MEDIA
BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI KEDAH
9 Ogos 2016 | 6 Zulkaedah 1437

“Fitnah Terancang Media Setaraf Jenayah, Sokong Tindakan Undang-undang”

1. Laporan _Sarawak Report_ bahawa pemimpin PAS menerima RM90 juta daripada Umno berdasarkan ‘kecurigaan yang meluas’ yakni bukannya dari sesuatu bukti atau fakta, jelas bermotif jahat.

2. Ini kerana perbuatan tersebut dilakukan oleh sebuah media yang boleh disifatkan sebagai penyaalahgunaan medium. Malah, ia nyata bertentangan dengan etika profesionalisma entiti media. Oleh itu, ia layak dilihat sebagai satu jenayah.

3. PAS Negeri Kedah berpendirian bahawa sesuatu isu diketengahkan kepada masyarakat hendaklah berpaksikan maklumat yang tepat dan tidak semborono, kerana pemberitaan palsu akan menjadikan sesebuah organisasi itu terpalit dengan perkara tidak benar.

4. Mutakhir ini dilihat terdapat pihak-pihak tertentu menjadikan fitnah sebagai permainan, suka-suka atau olok-olok serta gurauan. Perkara seperti ini mesti segera dibendung kerana ia mengait integriti, maruah, reputasi bahkan keselamatan individu atau pihak lain.

5. Ianya berpotensi besar mengundang ancaman dan keburukan terhadap pihak yang difitnah, sedangkan pemfitnah bersikap sewenangnya. Sehubungan itu kami merasakan wajar perbuatan seperti itu dihadapkan ke pengadilan undang-undang.

6. Maka, kami menyokong penuh kenyataan Timbalan Presiden PAS untuk mengemukakan saman ke atas Sarawak Report di atas laporan mereka yang telah mencetuskan tuduhan buruk kepada PAS, sekali gus merendahkan etika moral warga media.

USTAZ DR AHMAD FAKHRUDDIN SYEIKH FAKHRURAZI
Pesuruhjaya
PAS Negeri Kedah

 

*PETISYEN RAKYAT KEDAH ISU AIR*

Mari Bersama Pemuda PAS Kedah mendesak kerajaan negeri Kedah bertanggungjawab segera masalah air yang berlaku di Kedah.

Sila buka link ini dan sila sign pitesyen tersebut. Tunaikan hak dan tangggungjawab anda sebagai rakyat ! Sign petisyen di

 

https://www.gopetition.com/petitions/tuntutan-rakyat-isu-air-di-kedah.html

*Share dan Viralkan*

 

Target minggu ini dapat sokongan sign petisyen semaksimum mungkin dari seluruh rakyat Kedah

 

Lajnah Penerangan

Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah

9 Julai 2016